Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, terkilan apabila lapan pasukan negeri dan kelab gagal menghantar wakil ke Kejohanan Hoki Wanita Piala Razak 2017, sekaligus menafikan peluang untuknya melakukan persediaan terbaik bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tahun depan.

Lapan pasukan yang dimaksudkan Dhaarma antaranya adalah Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang gagal menghantar skuad mereka dalam saingan yang dianggap penting untuk persediaan skuad negara menuju dua temasya besar pada 2018.

Dia juga menegaskan itu adalah satu-satunya peluang terbaik untuk mencari muka baru bagi mengisi keperluan skuad negara selepas melewati saat sukar bagi perebutan slot ke Piala Dunia 2018.

“Saya rasa sedikit sedih kerana saya tahu pasukan-pasukan seperti Kedah dan Pulau Pinang memiliki ramai pemain muda, dua pemain dari Kedah dan satu dari Pulau Pinang telah saya pilih ketika berusia 17 tahun sewaktu Sukan Asia,” katanya.

Dengan apa yang berlaku, pilihan yang ada untuk Dhaarma adalah terhad dan apa yang ada hanya barisan sama yang akan mengemudi pasukan menjelang aksi di Gold Coast dan Indonesia.

Layak secara merit ke Sukan Komanwel dianggap sebagai bonus buat Dhaarma dan anak-anak buahnya selepas keterujaan untuk beraksi dalam Piala Dunia tahun depan hanya tinggal mimpi.

“Tahun depan kami menyasarkan separuh akhir Sukan Asia di Indonesia dan cuba memenangi pingat. Sukan Komanwel (April depan) sepatutnya menjadi medan persiapan untuk ke Sukan Asia (pada Oktober),” katanya lagi.


“Muhammad Dhaarma Raj Abdullah”, “Hoki wanita”, “Piala Razak Wanita 2017”, “Sukan Komanwel”, “Sukan Asia”