Aspek cekap buat keputusan keutamaan skuad hoki wanita 

Oleh Staff Writer 28 Februari 2020 259
 Aspek cekap buat keputusan keutamaan skuad hoki wanita 
"Kepintaran di atas padang."

Itu aspek paling penting yang diingini jurulatih skuad hoki remaja wanita, Lailin Abu Hassan, bagi sesi pemilihan pemain yang bakal membawa nama negara ke pentas antarabangsa April depan.

Bekas penolong jurulatih skuad hoki wanita negara itu menggalas cabaran baru apabila bakal membawa skuad remaja wanita sempena menghadapi Kejohanan Piala Asia di Donghae, Korea Selatan, dari 6 hingga 12 April depan.

Lailin sudah pun memanggil 36 pemain untuk menjalani sesi pemilihan sebaik sahaja tamat saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) dalam memastikan dia mendapat skuad terbaik bagi mengharungi cabaran itu.

Kriteria pemain sudah ada dalam bayangannya dan semestinya aspek kepintaran di atas padang merupakan elemen yang paling penting.

"Pemahaman dalam permainan akan menjadi ukuran.

"Begitu juga dengan kecergasan dan bijak melakukan penyudah peluang yang ada akan dinilai.

"Bagaimanapun, mereka boleh menyesuaikan diri dengan perlawanan peringkat tertinggi," katanya kepada Wan Muiz Wan Aziz di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Selain itu, Lailin juga bercadang untuk membawa skuad negara menjalani sesi latihan di luar negara, namun masih menunggu keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

"Saya juga merancang untuk mengadakan perlawanan di luar, sama ada di Perth, Australia, atau Korea Selatan tetapi masih menunggu keputusan KHM.

"Ia bagi tujuan pendedahan kepada perlawanan tempo tinggi."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen