Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj, berdepan cabaran getir untuk memastikan Malaysia layak ke Piala Dunia 2023 menjelang kelayakan yang akan berlangsung, tahun depan.

Pengendali kelahiran Tampin, Negeri Sembilan itu memulakan tugas pada hari pertama menggantikan Roelant Oltmans yang meletak jawatan, awal bulan ini.

Tiada sebarang perjanjian antara Arul dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengenai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang perlu dicapai.

Ia susulan perubahan jadual kejohanan antarabangsa yang menyaksikan penundaan Piala Sultan Azlan Shah dan Trofi Juara-Juara Asia, tahun ini.

Walau apapun yang berlaku, Arul mempunyai satu tugas penting tahun depan iaitu Piala Asia selaku kelayakan Piala Dunia 2023 di India.

Beliau perlu memastikan Malaysia layak selepas Muhammad Dhaarma Raj Abdullah membawa Malaysia ke Piala Dunia 2014 dan Roelant Oltmans edisi 2018.

"Memenangi Piala Asia adalah matlamat mana-mana pasukan yang mahu melayakkan diri secara automatik ke Piala Dunia. Selepas berakhir saingan Liga Hoki Malaysia, kami akan memberikan tumpuan kepada persiapan bagi menghadapi kejohanan antarabangsa tahun depan dalam misi melayakkan diri ke Piala Dunia," kata Arul.

Sebelum memulakan tugas, Arul sudahpun meletak jawatan sebagai jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Beliau mengendalikan UniKL sejak 2012 hingga meraih kejuaraan treble, musim ini.

"Saya akan cuba untuk mendapatkan jurulatih yang berkaliber buat UniKL. Saya memiliki komitmen dan hubungan baik dengan pasukan dan akan berusaha untuk membantu pasukan itu mendapatkan jurulatih baru."