Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melantik Arul Selvaraj sebagai ketua jurulatih skuad negara yang baru.

Pelantikan itu bermakna barisan jurulatih senior lelaki negara kini diisi pengendali tempatan.

Arul akan dibantu Mohd Amin Rahim dan jurulatih penjaga gol, Nasihin Nubli, menjelang kejohanan tunggal tahun ini, Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Dhaka, Bangladesh, November depan.

Keputusan itu bermakna Arul dinaikkan pangkat -- tiga minggu selepas perancangan awal melantiknya sebagai penolong jurulatih.

Dalam perkembangan sama, Amin akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara bagi menunggu ketibaan Arul dari Dublin, Republik Ireland.

Amin mungkin akan ditagih untuk terus membimbing skuad negara selepas 15 Ogos ini berikutan Arul perlu menjalani proses kuarantin selama dua minggu sebaik tiba di Malaysia dalam masa terdekat.

"Saya tahu corak pemikiran, konsep dan kaedah latihan diterapkan Arul yang cenderung kepada pendekatan Eropah.

"Saya tiada masalah kerana Roelant Oltmans juga dari sana," kata Amin.

Menurut Nasihin pula: "Kami sudah biasa berbincang, ia adalah cara terbaik untuk ia dijadikan saya langkah pertama."