Penyerang skuad hoki remaja negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, sedia menyertai sesi latihan skuad kebangsaan selepas muncul penjaring terbanyak ketika Malaysia meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 dengan 22 gol.

Akhimullah dan kapten pasukan, Muhammad Noor Firdaus Rosdi, adalah antara calon menyertai kem latihan kebangsaan.

Mereka memainkan peranan penting membantu Malaysia menewaskan India 4-2 dalam final Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina walaupun skuad kendalian Wallace Tan itu turun selaku pasukan bukan pilihan.

"Jika diberikan peluang, saya bersedia menerima cabaran untuk bersama skuad kebangsaan dan cuba memberikan yang terbaik," kata Akhimullah.

"Saya akan cuba meningkatkan lagi mutu permainan jika dapat beraksi bersama skuad kebangsaan. Ia adalah impian setiap pemain hoki," kata Firdaus pula.

Kesemua sembilan pemain pasukan itu berada dalam skuad projek 2020 menjelang kelayakan Piala Dunia Remaja tahun depan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sedang mempertimbangkan cadangan jurulatih Skuad Projek 2020, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, untuk pasukan ini menyertai Liga Hoki Malaysia (MHL) sebagai satu pasukan.

"Saya menyeru pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memberikan sokongan bagi meningkat lagi mutu sukan hoki negara," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.