Sukar membiasakan diri di trek baru menjadi punca skuad kejar-mengejar berbasikal trek lelaki negara gagal mencapai misi memperbaiki rekod kebangsaan dalam Sukan Komanwel di Velodrom Anna Meares, Gold Coast, hari ini.

Malaysia, yang dibarisi Irwandi Lakasek, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Afiq Huznie Othman dan Muhammad Daniel Edy Suhaidie, mengakhiri pusingan kelayakan di tempat tercorot dengan catatan masa 4 minit 13.33 saat.

Sudah menjangkakan sukar untuk ke separuh akhir, namun kegagalan memperbaharui rekod kebangsaan, 4:09.6s, yang dirakamkan dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia, Februari lalu cukup menghampakan.

Irwandi menyifatkan trek di velodrom itu agak asing buatnya dan sesi latihan selama empat hari belum memadai sehingga menjadi punca aksi hambarnya.

Namun, ia memberi satu pengalaman baru kepada Irwandi, yang mahu mengalihkan fokus kepada perlumbaan scratch, Sabtu ini.

"Memang sasaran kami untuk melakukan catatan lebih baik. Tetapi dengan permukaan trek yang kurang memuaskan bagi kami, mungkin sukar untuk kami membuat catatan masa yang baru.

"Insya-Allah, ini adalah pendedahan kepada kami untuk Sukan Asia pada Ogos nanti," kata Irwandi.