Skuad badminton negara melaungkan amaran dalam pemburuan pingat emas acara berpasukan campuran apabila tetap menurunkan Datuk Lee Chong Wei ketika membenam Ghana 5-0 dalam aksi pertama Kumpulan D, Sukan Komanwel Gold Coast, sebentar tadi.

Berdasarkan status lawan, skuad badminton negara diramal tidak akan menurunkan barisan terbaik dalam pertarungan pertama saingan berpasukan campuran itu.

Antara lain, Chong Wei dijangka direhatkan bagi memberi peluang kepada pemain beregu campuran, Goh Soon Huat, untuk beraksi dalam acara perseorangan.

Begitupun, perkara sebaliknya berlaku apabila kudrat Chong Wei tetap ditagih, sekali gus membuktikan Malaysia serius untuk mengekalkan emas yang dimenangi di Glasgow, empat tahun lalu.

"Bagi saya, sememangnya hari ini adalah perlawanan pertama. Sudah beberapa hari kami katakan di sini, mungkin pusingan pertama dan kedua tidak begitu sukar.

"Saya mahu membiasakan diri dengan keadaan gelanggang dan beraksi dalam acara berpasukan pasti memberikan lebih semangat," kata pemain perseorangan utama negara itu.

Ketika berdepan Ghana, Chong Wei menyumbang mata ketiga skuad campuran negara menerusi kemenangan 21-2, 21-7.

Skuad negara akan berdepan dua pasukan dalam tempoh sehari esok, iaitu bertemu Seychelles pada sebelah pagi manakala Kanada pada sebelah petang.