Syed Aizad Daniel Syed Nasir kembali berada dalam perancangan ketua jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, selepas diketepikan daripada kem latihan pusat fasa pertama awal bulan ini.

Ternyata 'detik hitam' melibatkan masalah peribadi telah diketepikannya dengan mengorak langkah untuk menabur bakti bersama skuad negara.

Nama pemain berumur 25 tahun itu bukanlah asing dalam arena sukan futsal.

Pelbagai kejayaan dikecapi bersama skuad negara, antaranya muncul naib juara Kejohanan AFF 2017 dan 2018 serta pingat perak Sukan SEA 2017.

Ternyata amaran yang diberikan Chun Yong sebelum ini dipandang serius, atas faktor itu dia memilih untuk membarisi Selangor TOT United dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2021.

"Apa yang meresahkan saya ialah sampai ke hari ini dia belum memutuskan pasukan manakah yang akan diwakilinya tahun ini.

"Saya tidak nampak dia berlatih dengan kerap jadi saya meragui kecergasan dan tempo permainannya.

"Mentalitinya bagaimanapun sudah bersedia untuk menyertai pasukan," kata Chun Yong.



Posted by TOT United Futsal CLUB on Thursday, April 8, 2021



Skuad negara bakal memulakan latihan pusat fasa kedua bermula 2 Mei depan dalam rangka persiapan menjelang Kejohanan Jemputan Kejohanan Futsal Antarabangsa (SAT) 2021 yang dijadualkan bermula dari 22 hingga 27 Mei depan di Bangkok, Thailand.

Pemain yang sinonim dengan jersi nombor 10 itu berwaspada dengan saingan sengit untuk kembali menjadi watak utama skuad negara.

"Saya tidak mempunyai pasukan dalam fasa pertama sebab ada masalah dengan pasukan sebelum ini.

"Tetapi saya sudah mula berlatih dengan TOT United dan akan menandatangani kontrak rasmi bulan depan.

"Saya akan menyertai mereka untuk fasa latihan kedua.

"Saya akan tunjukkan kepada jurulatih bahawa saya masih boleh bermain lagi dalam pasukan kebangsaan.

"Persaingan memang kuat sebab kedudukan masing-masing belum terjamin. Kami perlu merebut tempat," kata pemain itu.