Jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, tidak bimbang dengan ranking tercorot skuad negara demi pengalaman berguna dalam Kejohanan Futsal Antarabangsa Thailand.

Chun Yong tidak berasa kerdil dengan kekuatan yang bakal ditampilkan pasukan Iraq, Qatar, Kuwait dan Turkmenistan yang memiliki ranking jauh lebih baik berbanding Malaysia.

Malah, pengendali itu menganggap ia satu-satunya peluang keemasan yang perlu digarap anak buahnya memandangkan kesempatan sebegini jarang berlaku.

"Walaupun lawan memiliki ranking yang lebih tinggi, saya tidak mahu pasukan negara terlalu menghormati mereka," kata Chun Yong.

Ia persediaan yang cukup baik untuk skuad negara menjelang Kejohanan Futsal AFF yang akan berlangsung September depan.

Chun Yong menampilkan enam muka baru untuk diketengahkan dengan mengekalkan 14 pemain lama.

"Saya berasakan pemain-pemain mengetahui cara untuk menangani perkara ini dan berusaha untuk mencipta keputusan positif ketika berdepan lawan dari Timur Tengah itu."


Editor: Ammar Hakim