Perak negeri pertama jalin kerjasama dengan pakar luar

Oleh Azizan Hashim 16 November 2019 54
Perak negeri pertama jalin kerjasama dengan pakar luar

Perak muncul negeri pertama memeterai perjanjian untuk bekerjasama dengan pengendali  terbesar E-sukan di Asia Tenggara, Mineski, dalam usaha memperkembangkan sukan itu.

"Kerajaaan Negeri Perak mewujudkan perkongsian dengan Mineski bertujuan memajukan E-sukan," kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How.

Menurutnya, langkah itu diharap mampu membawa sukan itu ke peringkat lebih tinggi.

"Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan berusaha ke arah memastikan E-sukan diterima di peringkat akar umbi di negeri ini.

"Usaha akan dilakukan bagi menangani pelbagai masalah dan kepincangan dihadapi oleh sukan ini, terutama daripada segi pemain, penganjuran, kejurulatihan, penyebaran dan pengembangan sukan.

"Dengan sokongan penuh kerajaan serta kerjasama mereka yang terlibat dengan E-sukan, saya yakin ia mampu dilonjakkan sebagai sukan nombor satu dunia," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis makan malam di sebuah restoran terkenal di Ipoh, malam tadi.

Chuan How berkata majlis menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) dengan Mineski telah dibuat di Filipina pada 1 Ogos lalu.

"Bagi merealisasikan impian menjadikan E-sukan terkenal, ia harus dijadikan dalam bentuk hiburan dengan menganjurkan kejohanan peringkat zon di beberapa negeri dengan pusingan akhirnya diadakan di Ipoh.

"Bagi menjadikan sukan ini pilihan pengajian tinggi, kursus-kursus pendek meliputi aspek penyebaran, pengkelasan, pengendalian dan reka bentuk grafik akan dianjurkan.

"Usaha juga akan dilakukan bagi menjadikan E-sukan sebagai pilihan gaya hidup dengan mempertingkatkan kemudahan pusat permainan, arena E-sukan dan gerai-gerai," katanya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen