Hakim Ziyech berang dengan keputusan Ajax tidak dinobat sebagai juara Eredivisie apabila musim telah ditamatkan.

Persatuan Bolasepak Diraja Belanda (KNVB), mengumumkan semalam mereka tidak berhasrat untuk meneruskan saingan dan menamatkannya dengan tanpa juara, penyingkiran dan pendatang baru.

Ajax mendahului liga dengan perbezaan jaringan ke atas AZ ketika musim ditangguh ekoran penularan wabak koronavirus.

Ziyech, yang berpindah ke Chelsea musim hadapan, tidak gembira dengan keputusan tidak memberikan kejuaraan yang ke-35 buat Ajax.

"Tolonglah, ini adalah satu berita yang mengecewakan. Kami telah mendahului saingan," katanya.

"Sememangnya, saya mahukan kami terus bersaing dan memastikan kejuaraan kali ii. Tetapi jika perlu memilih juara dalam situasi semasa, Ajax berhak diangkat sebagai pemenang."



Ajax mengalami lima kekalahan dalam saingan liga musim ini, dua daripadanya hadir ketika berdepan AZ.

Kapten pasukan, Dusan Tadic, berasakan dia telah dinafikan sebuah kejuaraan.

"Ini adalah peraturan yang telah dipersetujui. Perbezaan jaringan seharusnya diambil kira.

"Jika mahu melihat daripada keputusan perlawanan, AZ mungkin boleh diangkat sebagai juara.

"Saya seorang pemain profesional dan mahu memenangi setiap gelaran. Kini saya telah hilang satu kejuaraan."