Zinedine Zidane menegaskan dia tidak perlu terburu-buru menurunkan semula Gareth Bale untuk meyakinkan pemain itu agar kekal bersama Real Madrid.

Masa depan bintang Wales itu sekali lagi menjadi tanda tanya apabila dia dilaporkan ke London untuk mengadakan perbincangan dengan ejennya, Jonathan Barnett.

Bercakap selepas meraih kemenangan 5-0 ke atas Leganes dalam LaLiga awal pagi kelmarin, Zidane menegaskan dia masih memiliki hubungan pekerjaan yang baik dengan Bale, yang tidak pernah mewakili Madrid sejak 5 Oktober lalu gara-gara kecederaan ketika tugasan antarabangsa.

Zidane berkata penyerang itu sudah kembali berlatih bersama pasukan tetapi tidak bersetuju seandainya dia perlu terburu-buru untuk menurunkan Bale bagi meyakinkan pemain itu masih ada masa depan di Santiago Bernabeu.

"Perkara itu sudah berlalu. Dia berada di sini dan di lapangan, sedikit demi sedikit, berlatih," kata Zidane kepada wartawan menjelang perlawanan LaLiga menentang Real Betis awal pagi esok.

"Kami ada bersamanya sekiranya dia mahu kembali ke dalam pasukan. Itu sahaja.

"Saya tidak perlu melakukan apa-apa.

"Saya tidak perlu meyakinkannya tentang apa-apa kerana dia berada di sini.

"Dia sedang berlatih, tidak dapat diturunkan tetapi dia berada di sini, di Real Madrid," katanya.

Ketika masa depan Bale masih kabur, Madrid terus dikaitkan dengan perpindahan bintang Manchester United, Paul Pogba, yang berhajat untuk berpindah ke ibu kota Sepanyol itu dalam jendela perpindahan lalu.

Dengan pemain tengah kebangsaan Perancis itu kekal bersama United manakala Luka Modric, Toni Kroos dan Casemiro dilanda kecederaan musim ini, Federico Valverde memanfaatkan peluang itu untuk memikat hati Zidane.

Bagaimanapun, pengurus Madrid itu tidak menganggap Valverde sebagai pemain yang seacuan dengan Pogba.

"Saya tidak melihatnya seperti itu. Dia pemain yang amat muda, yang banyak peluang pada waktu ini dan masa akan datang.

"Dia telah melakukannya dengan baik.

"Saya tidak terkejut dengannya.

"Dia pemain penting dalam skuad ini.

"Terdapat 25 pemain dalam skuad utama dan dia sebahagian daripadanya," tambahnya.

Kemenangan 5-0 ke atas Leganes merupakan satu lagi perlawanan di mana Eden Hazard gagal menemui jaringan.

Namun, Zidane menolak andaian bahawa bintang Belgium itu terlalu "malu-malu" di depan gawang.

"Saya tidak fikir dia malu. Dia dapat melihat apa yang pemain lain tidak nampak, jadi adakalanya dia lebih memilih untuk melakukan hantaran daripada percubaan.

"Semua mahu melihat Hazard menjaringkan gol.

"Dia kelihatan semakin baik dari hari ke hari," katanya lagi.