VALENCIA 1-1 REAL MADRID

Real Madrid bangkit mengikat Valencia 1-1 menerusi gol penyamaan daripada Karim Benzema dan Zinedine Zidane percaya ia adalah bukti semangat juang pasukan itu.

Valencia seakan-akan menuju kemenangan 1-0 apabila Carlos Soler meletakkan tuan rumah di hadapan ketika berbaki 12 minit permainan, kemudian sempat menghdirkan cemas apabila jaringan Luka Jovic dibatalkan akibat ofsaid.

Bagaimanapun, Madrid terus mengasak dan akhirnya menyelamatkan maruah mereka dalam masa kecederaan -- Benzema melepaskan rembatan kencang selepas tandukan penjaga gol, Thibaut Courtois, yang naik membantu serangan ditepis Jaume Domenech.

Sehubungan itu, Madrid akan turun dalam 'derby El Clasico' menentang Barcelona, awal pagi Khamis ini, dengan semangat membara sambil Zidane mencadangkan gol lewat permainan itu mencerminkan mentaliti pasukannya.

"Ia membuktikan kami berjuang sehingga wisel terakhir. Kami berjuang dan apa yang kami hajati adalah keputusan yang baik," kata pengurus Madrid itu kepada Movistar.

"Kami tidak berputus asa. Kami mendapatkannya (jaringan penyamaan) menerusi usaha Courtois dan Karim. Saya gembira kerana mereka semua telah berusaha dengan hebat.

"Anda harus bangga dengan perlawanan ini. Apabila beraksi di stadium yang sukar, dibolosi beberapa minit menuju tamat perlawanan, hati kami boleh berkecai tetapi kami masih menganggap bahawa sesuatu boleh dicapai dan kami meraihnya."

Ketua pasukan, Sergio Ramos, tidak begitu berminat mengenai soal keciciran mata, namun mengakui dia meninggalkan Mestalla dengan kekecewaan.

"Walaupun menjaringkan gol pada akhirnya, ia terasa sedikit pahit walaupun kami menambah mata. Apabila gagal memungut tiga mata, ia satu kekesalan," katanya.

"Saya fikir kami telah menguasai perlawanan dengan baik dengan mempamerkan keseimbangan. Kami menghadapi satu pesaing yang dalam prestasi yang baik.

"Kami tidak dapat memberi tekanan sepanjang 90 minit tetapi kami sentiasa melakukannya. Kami meraih satu mata yang membolehkan kami kekal di puncak."