Zinedine Zidane menegaskan bahawa kejayaan Real Madrid meledak gol penyamaan di hujung perlawanan berdepan Barcelona tidak akan memberi impak besar dalam perebutan kejuaraan LaLiga musim ini.

Barca dilihat akan mengutip tiga mata selepas Luis Suarez berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada minit ke-53 sebelum gol penyamaan penuh dramatik oleh Sergio Ramos memastikan kedua-dua pasukan menamatkan pertembungan El Clasico dengan satu mata.

Satu mata tersebut dilihat memberi impak lebih positif kepada Real Madrid tatkala memastikan jurang enam mata di antara kedua-dua pasukan itu terus kekal.

Bagaimanapun, Zidane memberi amaran masih terlalu banyak yang perlu mereka perbaiki jika mahu muncul juara LaLiga sejak tahun 2012.

"Saya tidak rasa keputusan ini akan memberi impak besar terhadap keazaman Barcelona," katanya ketika sesi sidang media.

"Kami masih mengekalkan jurang enam mata, namun saya tidak berasakan ini akan mengubah apa-apa. Kami masih perlu berkerja keras dan memberi fokus terhadap perlawanan seterusnya."

Sementara itu, Zidane mengamburkan pujian terhadap sumbangan Ramos dan Luka Modric yang telah memberikan aksi bertenaga di bahagian tengah.

"Gol Ramos tidak mengejutkan saya, itulah kemampuannya," tambah Zidane.

"Dia memiliki keazaman yang tinggi dan dalam perlawanan sebesar ini, dia sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat terbaik.

"Dia tidak pernah berputus asa, jadi saya sangat gembira dengan aksinya hari ini.

"Modric, seperti kita sedia maklum, merupakan pemain penting untuk kami. Sedikit demi sedikit kecergasannya semakin mencapai 100 peratus kerana dia baru sahaja pulih daripada kecederaan.

"Namun, hari ini dia membuktikan bahawa dia sudah kembali sepenuhnya."