Zinedine Zidane didapati positif dalam ujian saringan COVID-19, demikian disahkan Real Madrid.

Skuad Los Blancos itu memaklumkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman web rasmi mereka malam tadi.

Masih belum ada kepastian seberapa lama Zidane akan direhatkan daripada membimbing Madrid tetapi dia sudah pasti tidak dapat berada di tepi padang sewaktu perlawanan penting LaLiga menentang Deportivo Alaves awal pagi esok.

Masa depan Zidane selaku ketua jurulatih Madrid menjadi semakin tidak menentu susulan kekalahan mengejutkan 1-2 kepada pasukan liga divisyen tiga, Alcoyano, dalam Copa del Rey, Rabu lalu.

Madrid menjuarai LaLiga musim 2019-20 tetapi kini ketinggalan tujuh matta di belakang pendahulu liga dan seteru setempat mereka, Atletico Madrid, yang turut berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Selepas Alaves, Madrid akan bertemu Levante pada 30 Januari ini dan berkunjung ke laman Huesca seminggu kemudian di mana kesemua perlawanan itu amat penting bagi menentukan masa depan Zidane bersama kelab itu.