Zidane nafi Los Blancos kini dilanda krisis

Oleh Penulis Jemputan 2 November 2017 970
Zidane nafi Los Blancos kini dilanda krisis
Zinedine Zidane menegaskan Real Madrid tidak menghadapi sebarang krisis susulan kekalahan 1-3 di tangan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Juara bertahan dan juara dua kali berturut-turut itu gagal membendung asakan Spurs di Wembley hingga membolehkan Dele Alli mencatat dua gol dan satu jaringan daripada Christian Eriksen memberikan kemenangan 3-1 buat tuan rumah.

Kekalahan itu menyusul tiga hari selepas Madrid tewas mengejut 1-2 di tangan Girona dalam aksi LaLiga dan menyebabkan mereka ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Keputusan itu juga menyaksikan Madrid meraih kekalahan pertama di peringkat kumpulan dalam masa lebih 10 tahun, sejak tewas 0-2 di tangan Juventus pada November 2008, tetapi situasi itu tetap tidak membuatkan Zidane panik.

"Kami tidak berada dalam sebarang masalah. Saya tidak risau dan ia tidak berlaku sepanjang tahun, apa sahaja boleh terjadi.

"Kalah dua kali berturut-turut semestinya tidak bagus buat kami tetapi kami memiliki kira-kira tiga atau empat hari sebelum aksi kembali bersambung. Hari ini, kami tunduk kepada pasukan yang lebih baik.

"Bilik persalinan tidak gembira dan juga tiada sebarang semangat. Ini adalah detik buruk tetapi kami harus menerimanya," ujar Zidane.

"Real Madrid tidak bermain dengan buruk. Kami meraih beberapa peluang tetapi gagal menjaringkan gol.

"Kami tidak mempunyai perwatakan yang tenang di depan gawang lawan. Kadangkala anda meraih dua peluang dan mencatat dua jaringan, tetapi tidak hari ini.

"Kami kalah tetapi musim masih panjang. Tahniah kepada pasukan lawan tetapi kami akan bangkit. Seluruh pasukan amat kecewa," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen