Zinedine Zidane meraih anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas membimbing Real Madrid menjuarai La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah pada musim lalu.

Zidane mendapat penghormatan itu dalam majlis yang dianjurkan oleh badan induk bola sepak dunia itu di London, awal pagi tadi, mengatasi pesaingnya yang juga bos Chelsea, Antonio Conte, dan jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

Legenda Perancis itu juga mengatasi Allegri di Cardiff pada Jun lalu, apabila Madrid menjadi pasukan pertama yang mengekalkan gelaran Eropah dalam era Liga Juara-Juara selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas Juve.

Dalam edisi sulung Anugerah FIFA, Zidane tewas kepada Claudio Ranieri yang mengemudi Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2015-16.

Namun, kejayaan mengetepikan Barcelona dalam LaLiga membantunya mengalahkan Conte dan Allegri -- yang juga memenangi liga domestik masing-masing pada 2016-17.

"Ini adalah hadiah hebat dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain yang membuatkannya menjadi kenyataan," kata Zidane dalam majlis di London Palladium. "Terima kasih banyak."

Penyerang Madrid, Cristiano Ronaldo, mempertahankan Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA yang dimenanginya tahun lalu selepas menjadi wira pasukan Zidane dalam usaha ke arah kejuaraan berganda.

Selepas kemenangan 2-0 ke atas Eibar semalam, Zidane memuji kapten Portugal itu sebagai "pemain terbaik dalam generasinya".

Sarina Wiegman dinobatkan sebagai Jurulatih Wanita Terbaik FIFA setelah memimpin Belanda meraih gelaran Euro 2017.

"Terima kasih di atas anugerah ini, ia pengiktirafan hebat tetapi tanpa pasukan dan kakitangan hebat, kami tidak akan mencapai apa yang kami lakukan dalam Kejuaraan Eropah," kata Wiegman.