GETAFE 0 REAL MADRID 3

Zinedine Zidane percaya gol berganda daripada Raphael Varane dalam kemenangan 3-0 di Getafe tengah malam tadi memperlihatkan bagaimana Real Madrid tidak hanya perlu bergantung kepada barisan penyerang untuk mencetak gol.


Los Blancos kembali beraksi selepas hanya mampu meledak satu jaringan dalam tiga perlawanan LaLiga sebelum ini, namun pemain antarabangsa Perancis itu menyumbat dua gol dalam setiap babak untuk menundukkan pasukan bimbingan Jose Bordalas berkenaan.

Luka Modric menambah gol ketiga dalam masa tambahan untuk menyempurnakan kemenangan terbesar Madrid sejak 9 November lalu dan Zidane berkata kesabaran pasukannya telah membuahkan hasil dalam perlawanan 'derby' itu.

"Saya sudah mengatakan bahawa anda perlu tenang di hadapan gawang," kata pengurus Madrid itu kepada pemberita.

"Anda perlu tenang kerana kadang-kadang bola di kedudukan tidak sesuai. Dengan jaringan daripada Varane hari ini, ia membuktikan bahawa kami mempunyai banyak sumber untuk melakukan jaringan.

"Bagi kami, adalah penting untuk menang kerana ia adalah satu liga yang sangat rumit. Pemain saya telah memberikan ketekalan yang hebat sejak minit pertama."

Zidane juga menghamburkan pujian terhadap penjaga gol, Thibaut Courtois, yang melanjutkan prestasi tanpa bolos buat kali ketiga berturut-turut bagi membantu pasukannya melangkah ke puncak liga.

Pemain antarabangsa Belgium itu belum ditewaskan sejak buntu tanpa jaringan dengan Barca dan Athletic Bilbao sebelum rehat pertengahan musim ini, justeru Zidane menekankan kepentingan persembahannya.

"Saya gembira dengannya dan pasti dia juga gembira dengan usahanya," kata Zidane mengenai Courtois.

"Kami telah bergelut dalam beberapa perlawanan dan Courtois beraksi dengan sangat baik. Kami telah bermain sebagai sebuah pasukan, itulah yang paling penting dalam perlawanan ini dan untuk menentang pasukan seperti ini.

"Kami mencapai hasil yang baik sebagai sebuah pasukan, terima kasih atas usaha setiap pemain."



Editor: Shaiful Shamsudin