Zinedine Zidane menyelar pasukan kendaliannya, Real Madrid, yang dilabelnya sebagai kurang kesungguhan selepas membiarkan Legia Warsaw bangkit mengikat kedudukan 3-3 biarpun pada satu ketika penyandang juara Liga Juara-Juara itu selesa mendahului 2-0.

Gareth Bale hanya memerlukan 57 saat untuk membuka tirai gol menerusi usaha dari jarak jauh untuk muncul sebagai pemain Real Madrid yang menjaringkan gol terpantas dalam kempen itu dan kemudiannya menjadi arkitek bagi gol kedua yang disudahkan Karim Benzema.

Tuan rumah, bagaimanapun, bangkit pada penghujung babak kedua sebelum menjaringkan dua gol lagi pada babak seterusnya menerusi Miroslav Radovic dan Thibault Moulin.

Mujur, Mateo Kovacic sempat menyelamatkan maruah Real Madrid ketika perlawanan berbaki dua minit lagi untuk menyamakan kedudukan biarpun pintu gol Real Madrid sempat cemas dengan usaha terakhir Lucas Vazquez yang mengenai palang gol.

Keputusan itu menangguhkan hajat kelab gergasi Sepanyol itu untuk menjamin tempat ke peringkat 16 terakhir.

Namun, kedudukan mereka dalam Kumpulan F masih selamat dengan kelebihan lima mata di depan pasukan di tangga ketiga, Sporting CP, dan dua mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund, dengan baki dua perlawanan lagi.

"Ia perlawanan yang aneh dan kami gagal melakukan seperti yang kami kehendaki," kata Zidane kepada beIN Sports. "Kami serba-serbi sedikit kekurangan sesuatu, terutamanya kesungguhan. Kami kehilangannya dan dibolosi, kami tidak kalah, tapi berasa teruk. Kami perlu menilai semula persembahan kami.

"Apabila mendahului dengan 2-0, anda perlu lebih banyak berfikir dan lebih bersatu sebagai sebuah pasukan. Kami gagal melakukannya, kami memberi mereka lebih banyak ruang.

"Sudah tentu sukar untuk mengungguli peringkat kumpulan, tapi itu tidak akan mengubah segalanya. Kami masih boleh menamatkan saingan di kedudukan teratas dan kami mensasarkannya."
Saksikan sorotan Legia menentang Real Madrid di sini: