Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, berpuas hati dengan persembahan Isco selepas meledak dua gol ketika membantu pasukannya meraih kemenangan 2-0 ke atas Espanyol dalam saingan LaLiga, semalam.

Isco meledakkan gol dalam kedua-dua separuh masa untuk membantu Real meraih kemenangan pertama di Santiago Bernabeu musim ini tetapi masih ketinggalan di belakang pendahulu liga, Barcelona.

Zidane memuji persembahan pemain berusia 25 tahun itu, dengan pengendali kelahiran Perancis itu menjangkakan persembahan lebih mantap daripada pemain kelahiran Sepanyol itu pada masa akan datang.

"Dia nampak memiliki keyakinan. Dia mengetahui kepentingannya dalam pasukan ini," kata Zidane.

"Isco bermain sangat bersahaja dan saya menyukainya. Dia terus berusaha walaupun usahanya tidak menjadi, seorang pemain memiliki tahap kesabaran yang tinggi dan tidak mudah panik.

"Dia sangat selesa di atas padang, bersama-sama rakan sepasukan dan saya sangat teruja kerana kami dapat menyaksikan persembahan terbaik daripada Isco, lagi dan lagi," katanya.

Real kini menduduki tangga kelima LaLiga selepas permulaan hambar musim ini, dengan Barca memiliki kelebihan lima mata di persada liga.

Zidane berkata persaingan takhta liga bukan hanya melibatkan Real dan Barca sahaja.

"Benar, saingan liga semakin sukar musim demi musim. Kali ini, bukan dua atau tiga pasukan sahaja akan bersaing untuk merebutnya.

"Ia sangat baik untuk kejohanan ini kerana menyedari bahawa ia adalah saingan paling sukar di dunia dan akan menjadi lebih sengit tahun ini.

"Pasukan-pasukan mula memperkukuhkan kualiti mereka dan bermain dengan baik. Saingan LaLiga selepas ini akan menjadi lebih rumit dan menarik," katanya lagi.