Cristiano Ronaldo berkata pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, merupakan faktor utama di sebalik pencapaian terbaiknya pada musim 2015-16.

Zidane dibawa masuk menggantikan Rafael Benitez di Santiago Bernabeu pada bulan Januari musim lalu sebelum membawa kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-11 pada musim sama.

Ronaldo menamatkan musim lalu dengan 51 gol -- termasuk 16 gol dalam Liga Juara-Juara Eropah -- dan kemudiannya membantu Portugal muncul juara Euro 2016 buat julung kalinya.

Penyerang itu kini muncul pilihan utama untuk menggondol anugerah Ballon d'Or selepas tercalon antara 30 pemain yang telah disenarai-pendekkan.

Pemain berusia 31 tahun itu mengucapkan penghargaannya terhadap Zidane atas kemampuannya untuk meningkatkan moral pemain dalam tempoh singkat.

Ditanya siapakah pengendali yang terbaik dalam meningkatkan moral pemain, Ronaldo memberitahu Coach Magazine:" Zinedine Zidane adalah contoh terbaik musim lalu.

"Kami tidak bermula dengan baik, tetapi sebaik dia tiba di Bernabeu, dia jadi pemangkin kepada kejayaan saya musim lalu.

"Kami beraksi baik dalam La Liga, menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dan kemudiannya saya menjuarai Euro 2016 bersama Portugal.

"Musim yang terbaik dalam karier saya dan juga untuk Real Madrid. Miliki jurulatih yang tepat mampu menjadi inspirasi kepada pemain."

Ronaldo turut berkata tentang bekas pengendali Manchester United, Sir Alex Ferguson, yang dilihat telah meninggalkan impak paling besar dalam kariernya.

"Saya melihat Sir Alex Ferguson sebagai seorang ayah.

"Semua jurulatih meninggalkan kesan dalam hidup saya tetapi ketika saya tiba di Sepanyol, saya sudah dewasa. Namun, di Manchester United, saya masih seorang pemain muda.

"Tiba-tiba sahaja saya menyertai kelab gergasi di England, jadi saya amat memerlukan seseorang seperti Sir Alex."

Sementara itu, Ronaldo menggambarkan Jose Mourinho sebagai seorang penganalisis.

"Dia berfikir dengan cukup mendalam, mengambil kira pelbagai faktor dengan teliti."