Pemain sayap Crystal Palace, Wilfried Zaha, memilih bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba, sebagai idolanya selepas dinamakan dalam senarai awal Ivory Coast bagi menghadapi saingan Piala Negara-Negara Afrika.

Pemain berusia 24 tahun itu telah membuat dua penampilan bersama England sebelum ini dan keputusannya untuk beraksi bersama negara kelahirannya itu telah mencetuskan pelbagai kontroversi.

Namun, bekas pemain Manchester United itu telah pun mula mempunyai peminatnya di Ivory Coast selepas menghamburkan pujian terhadap pemain ikon negara itu.

"Dia bagaikan seekor haiwan buas," Zaha memberitahu Premier League tentang Drogba. "Tiada pemain pertahanan yang mampu mengekangnya.

"Dia mampu menahan asakan pemain lawan dan pada masa sama membuat pusingan dan melepaskan rembatan deras ke gawang lawan.

"Dia berada di kelas berbeza."

Walaupun pernah beraksi bersama England pada tahun 2012 dan 2013, namun FIFA memberi kebenaran kepada pemain itu untuk mewakili Ivory Coast susulan kedua-dua penampilannya sebelum ini hanyalah melibatkan aksi persahabatan.

Meskipun, pengendali England, Gareth Southgate, mengharapkan pemain itu kekal bersama Three Lions, Zaha -- yang lahir di Abidjan -- telah disenaraikan dalam skuad Michel Dussuyer, sekaligus mengesahkan keputusan telah pun dibuat.

Zaha telah meledak tiga gol dalam 17 penampilan bersama Palace musim ini manakala Drogba telah merekodkan 164 gol dalam 381 penampilan bersama Chelsea.