Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, menyifatkan misi Malaysia untuk melepasi halangan peringkat kumpulan masih bernyala walaupun tunduk 1-4 dalam perlawanan pertama Kejohanan AFC ketika menentang juara 2013, Iraq, kelmarin.

Selepas dibolosi dengan jumlah jaringan yang besar, keputusan seri 2-2 dalam satu lagi perlawanan di antara Jordan dan Arab Saudi tampak melegakan kem kebangsaan.

Sekurang-kurangnya, skuad negara hanya dibezakan satu mata dengan dua pasukan itu dan berpeluang untuk mengintai kedudukan tempat kedua Kumpulan C, dengan syarat tidak boleh menamatkan aksi bertemu Jordan tanpa sebarang mata.

"Kita masih ada peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya, dengan syarat perlu menundukkan Jordan esok.

"Jurulatih harus mencari taktikal atau perancangan yang sesuai untuk meraih kemenangan," katanya.

Justeru, Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu barisan pemain negara mengelak melakukan kesilapan mudah dalam aksi kedua esok.

"Saya rasa kalau kesilapan-kesilapan mudah dapat dielakkan, Malaysia mampu untuk mencipta kejutan kerana faktor cuaca tidak menjadi satu masalah," katanya lagi.