Pasukan Yayasan Sabah, SSMS, dan Hugu SV, mengungguli Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah, Piala Pegawai Daerah (DO) Penampang, yang diadakan di Padang Hungab, Penampang, baru-baru ini.

Tiga pasukan berkenaan masing-masing menjuarai kategori 'winner's pool' terbuka lelaki, wanita dan veteran.

Yayasan Sabah dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasukan PDRM Penampang 1-0 dalam final manakala SSMS menundukkan Ziemal FC 2-0 dan Hugu SV pula mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Telipok SV.

Selain itu, tiga pasukan berkenaan turut diangkat selaku juara keseluruhan selepas menewaskan lawan masing-masing yang memenangi perlawanan akhir 'loser's pool'.

Bagi kategori 'loser's pool', Novahool Jr muncul juara kategori terbuka lelaki selepas menundukkan Mix 2P FC 1-0 dalam final manakala NB Sundu Ream memenangi kategori terbuka wanita selepas menewaskan Musaim Clan 1-0.

Sementara itu, pasukan Tuaui SV pula muncul juara kategori veteran (loser's pool) selepas menewaskan Kolopis SV dalam perlawanan akhir.

Penyampaian hadiah bagi kejohanan yang julung kali diadakan itu dilakukan sendiri oleh Pegawai Daerah Penampang, Luvita Koisun.