Bekas ketua pasukan Barcelona, Xavi, menaruh harapan supaya Lionel Messi, Andres Iniesta dan ketua jurulatih, Luis Enrique, kekal di kelab itu melangkaui musim ini.

Masa depan bintang Argentina, Messi, kekal menjadi topik hangat berikutan rundingan kontrak barunya yang masih belum dimuktamadkan lagi.

Kapten semasa di Nou Camp, Iniesta, pula hanya memiliki baki kontrak selama 18 bulan manakala laporan di Sepanyol mendakwa Barca sudah pun menemui pengganti kepada Luis Enrique, selepas dia enggan memberi jaminan akan melanjutkan kontraknya yang bakal berakhir pada hujung musim ini.

Namun, Xavi yang memenangi tiga kejuaraan pada musim terakhirnya bersama kelab itu -- dan musim pertama Enrique sebagai jurulatih -- pada 2014/15, berharap ketiga-tiganya mengambil keputusan untuk kekal sebelum akhir musim.

"Saya mahu melihat Iniesta, Messi dan Luis Enrique terus bersama tahun depan," katanya dalam sidang media.

"Ini bermakna Barca akan terus berada dalam keadaan baik. Adalah normal jurulatih Barca berdepan keletihan. Mereka adalah kelab terbesar dunia, berdepan tekanan hebat dan perlu memenangi gelaran setiap tahun.

"Mereka bekerja keras dan anda sedar mengenainya. Mereka berdepan dengan keletihan. Enrique kelihatan seronok tapi turut terseksa, namun itulah tugas mereka."