Andres Iniesta telah disifatkan oleh bekas rakan sepasukannya, Xavi, sebagai pemain paling berbakat yang pernah dimiliki bola sepak Sepanyol.

Karier cemerlang Iniesta bersama Barcelona berakhir sewaktu membantu pasukan menewaskan Real Sociedad 1-0 di laman sendiri Ahad lalu, sekali gus mengakhiri tempoh di Camp Nou berbekalkan sembilan kejuaraan liga, empat trofi Liga Juara-Juara Eropah, satu Piala Dunia dan dua Piala Eropah.

Xavi meninggalkan Camp Nou pada 2015 dengan cara serupa dan dia telah menulis satu surat terbuka untuk memberikan penghormatan buat rakannya itu.

"Bagi saya, Iniesta adalah pemain paling berbakat dalam sejarah Sepanyol," ujar Xavi.

"Dia adalah ketua di atas padang, seseorang yang sentiasa mahukan bola. Anda tahu apakah kepentingannya? Apabila ramai pemain tidak mahu memegang bola kerana berada dalam keadaan yang sempit, dia akan memintanya.

"Dia merupakan satu anugerah buat rakan sepasukan. Itu adalah erti sebenar suatu personaliti untuk menjadi seorang ketua.

"Sebagai seorang pemain yang kerap melakukan hantaran, saya memerlukan pemain seperti Iniesta, Lionel Messi dan Sergio Busquets. Mereka menjadi gandingan terbaik dan sering memberikan saya pilihan walaupun ketika sukar."

Xavi mewakili Al Sadd di Qatar sejak meninggalkan Barca dan pemain berusia 38 tahun itu menyedari Iniesta telah mendapati keberkesanan dan kejayaannya untuk meraih cabaran baru.

"Saya kini jauh daripada saingan elit. Saya sedar kewujudan Iniesta dan apa yang dipersembahkan.

"Apabila dia meninggalkan Barca, dia akan memahami maksud saya. Dia telah memenangi segala-galanya, beraksi di peringkat tertinggi dan dihormati di seluruh dunia.

"Dia meninggalkan pasukan dengan cara yang berhak diraih kerana Iniesta tidak pernah mengeluarkan kata-kata keras kepada sesiapa. Anda boleh lihat bagaimana orang ramai menyukainya di seluruh dunia."