Timo Werner menjaringkan dua gol ketika menewaskan Augsburg 2-1 di Arena WWL malam tadi, sekali gus menjadi penjaring terbanyak sepanjang RB Leipzig dalam perlawanan terakhir Bundesliga musim ini.

Pemain kebangsaan Jerman itu membuka jaringan dalam babak pertama untuk mengumpulkan 94 gol sepanjang bersama Leipzig -- rekod baru kelab itu.

Dia kemudian menambah jaringan kedua untuk merekodkan 95 jaringan buat kelab itu sebelum menyertai Chelsea musim depan.

Kemenangan 2-1 itu bermakna Leipzig mengesahkan kedudukan selaku pasukan ketiga dalam Bundesliga musim ini dengan Werner merekodkan 28 gol daripada 34 perlawanan dalam liga divisyen utama berkenaan.

Ia merupakan kali kedua Werner, yang menyertai pasukan itu daripada Stuttgart pada 2016, telah melampaui jumlah 20 gol dalam semusim selepas menjaringkan 21 gol dalam musim 2016-17.

Pemain berusia 24 tahun itu turut menambah enam gol lagi dalam DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara Eropah musim ini dan walaupun Leipzig masih bersaing dalam Liga Juara-Juara, Werner tidak dapat meneruskan aksinya dalam kejohanan itu.

Werner dijangkakan menyertai Chelsea minggu depan walaupun dia masih tidak boleh mewakili pasukan itu sehingga musim depan dengan Leipzig dilaporkan akan menerima €53 juta (RM255.1 juta) daripada urus niaga itu.