Wenger tolak dikait kemudi Belanda 

Oleh Shaiful Shamsudin 19 Ogos 2020 218
Wenger tolak dikait kemudi Belanda 
Arsene Wenger menafikan laporan yang mengaitkannya dengan jawatan di Belanda. 

Menurut Fox Sports, bekas pengurus Arsenal itu dikatakan telah ditawarkan peluang untuk mengambil alih skuad Oranje berikutan pemergian Ronald Koeman ke Barcelona.

Pengurus dari Perancis berusia 70 tahun itu belum menyandang sebarang jawatan sejak meninggalkan kelab London utara berkenaan pada 2018 dan kini memainkan peranan sebagai Ketua Pembangunan Global Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Justeru, dia menolak laporan itu dengan menjelaskan kepada De Telegraaf: "Ia adalah satu pembohongan. Saya tidak menawarkan perkhidmatan saya kepada sesiapa pun.

"Saya merupakan satu-satu orangnya yang akan membincangkan masa depan sendiri."

Wenger meninggalkan The Gunners selepas 22 musim menerajui kelab itu dengan meraih tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tujuh kemenangan Piala FA.

Koeman akan mengambil alih tugasan di Barcelona susulan pemecatan Quique Setien berikutan kempen musim ini berakhir tanpa trofi termasuk penyingkiran memalukan dalam Liga Juara-Juara (UCL). 

Dia pada awalnya merancang untuk membimbing Belanda dalam kempen Euro 2020 sebelum ia ditunda ke 2021 akibat penularan wabak COVID-19. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen