BATE Borisov 2 ARSENAL 4

Aksi cemerlang penyerang Arsenal, Theo Walcott, berjaya membantu Arsenal menewaskan wakil Belarus, BATE Borisov, 4-2 dalam aksi kedua Kumpulan H, Liga Europa di Borisov Arena, awal pagi tadi.


Beraksi di tempat lawan, Walcott menampilkan aksi memukau selepas membuka tirai jaringan pada minit kesembilan selepas hantaran satu dua Jack Wilshere dan Olivier Giroud membuka ruang buatnya mudah menolak bola masuk menewaskan penjaga gol lawan, Denis Scherbitski.

Walcott sekali lagi mencatat nama dalam senarai penjaring apabila menambah gol kedua The Gunners pada minit ke-22 selepas kegagalan Scherbitski mengeluarkan bola dengan kemas membolehkan pemain England itu melepaskan rembatan tepat ke penjuru kiri gawang.

Arsenal terus selesa di depan tiga minit kemudian, kali ini menerusi Rob Holding yang menyudahkan bola tandukan Per Mertesacker hasil sepakan sudut untuk pelawat mendahului 3-0 ketika permainan belum berusia setengah jam.

Selang tiga minit kemudian, tuan rumah merapatkan jurang menerusi Mirko Ivanic selepas pemain tengah berusia 24 tahun itu menanduk masuk bola hantaran lintang dari sebelah kanan oleh pertahanan, Aleksey Rios, dan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, skuad kendalian Arsene Wenger hanya memerlukan empat minit untuk kembali berada dalam kedudukan selesa selepas Shkodran Mustafi dijatuhkan dalam petak penalti sebelum Giroud tenang menyempurnakannya, sekaligus meraikan gol ke-100 peribadi bersama Arsenal dan menjadikan kedudukan 4-1.

Gerakan Ivanic dari sayap kiri pada minit ke-67 membolehkan Mikhail Gordeychuk melepasi kawalan Holding sebelum melepaskan sepakan rendah menewaskan David Ospina untuk menjaringkan gol kedua buat tuan rumah, namun usaha skuad bimbingan Alyaksandr Yermakovich itu untuk mengejar kedudukan menemui jalan buntu dan perlawanan berakhir dengan keputusan memihak Arsenal 4-2.

Kemenangan itu meletakkan The Gunners di tangga teratas kumpulan dengan enam mata daripada dua perlawanan sambil diekori FK Crvena Zvezda di tangga kedua berbekalkan empat mata.