Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, percaya Cristiano Ronaldo akan memanfaatkan tempoh rehat akibat penggantungan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Penampilan pertama pemain berusia 33 tahun itu di pentas tersebut dicemari insiden layangan kad merah selepas dia didapati menarik rambut pertahanan Valencia, Jeison Murillo, dua minggu lalu.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengenakan hukuman mandatori penggantungan satu perlawanan yang menyaksikan kelangsungan aksi menarik Ronaldo yang membantu Juventus menewaskan Napoli, Sabtu lalu, tidak dapat diteruskan berdepan Young Boys awal pagi nanti.

Sejajar dengan itu, tugas memburu gol kini digalas Paulo Dybala dan Mario Mandzukic sambil turut dibantu Federico Bernardeschi.

"Cristiano perlukan rehat memandangkan dia bermain terlalu banyak perlawanan," ujar Allegri dalam sidang media.

"Sabtu lalu, dia bermain dengan intensiti yang hebat, prestasi terbaiknya sepanjang berada di sini.

"Dybala dan Mandzukic akan mengetuai serangan esok dan Bernardeschi dapat bermain secara bebas. Saya akan tentukan peranannya nanti.

"Kami perlu memenangi perlawanan esok, jika tidak, usaha keras membenam Valencia sebelum ini seakan sia-sia."

Skuad Bianconeri dijangka mudah menundukkan lawan tidak ternama dari Switzerland itu sebelum dua pertemuan berturut-turut dengan Manchester United.

Tatkala Allegri dilihat tidak berdepan masalah tanpa Ronaldo, pengurus Young Boys, Gerardo Seoane, memperlihatkan raut kecewa tidak dapat melihat aksi penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Juara-Juara itu.

"Kami kecewa Ronaldo tidak dapat bermain. Kami sentiasa mahu beraksi menentang pemain terbaik," kata Seoane.

"Dalam aspek bola sepak, tidak kira sama ada Juventus akan mempamerkan satu lagi aksi menarik nanti, namun ia akan sentiasa lebih baik jika dapat melihat kelibatnya di atas padang," tambahnya.

Pertahanan veteran, Andrea Barzagli, akan menggantikan Girgio Chiellini yang direhatkan Juve. Sami Khedira pula dijangka akan mengisi bangku simpanan selepas pulih daripada kecederaan otot.