Penjaga gol, Michel Vorm, menganggap Tottenham perlu mengambil pengajaran daripada prestasi hambar mereka dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Penjaga gol kelahiran Belanda itu tampil sebagai pemain gantian selepas Hugo Lloris dilayangkan kad merah ketika Spurs mendahului PSV 2-1 dalam aksi Kumpulan B, semalam.

Beraksi dengan 10 pemain, mereka gagal menyerap tekanan lawan dengan kapten PSV, Luuk de Jong, berjaya menemui jalan menewaskan Vorm pada minit ke-87.

Pengendali Spurs, Mauricio Pochettino, mendedahkan peluang pasukannya untuk layak ke pusingan 16 semakin samar, ketinggalan lima mata kepada penghuni tangga kedua, Inter, ketika saingan berbaki tiga perlawanan.

Di sebalik memenangi empat perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Spurs gagal mengulangi persembahan yang sama dalam UCL dan Vorm berkata pasukan perlu membuat persiapan lebih rapi untuk menghadapi cabaran Eropah.

"Kami sering memberitahu kepada satu sama lain bahawa kami perlu belajar daripada perlawanan-perlawanan terdahulu," kata Vorm.

"Jika melihat kepada statistik selepas perlawanan, ia menceritakan segala-galanya. Pasukan kini menghadapi kesukaran dan perlu bangkit.

"Spurs perlu berusaha untuk mencetak lebih banyak jaringan bagi mengelak kebangkitan pasukan lawan.

"Saingan di Eropah sangat berbeza jika dibandingkan dengan EPL. Kami masih lagi dalam proses mempelajarinya," katanya lagi.

Tottenham kembali ke saingan domestik ketika menerima kunjungan Manchester City ke Wembley, Isnin ini.