CSKA MOSCOW 1 REAL MADRID 0

Prestasi buruk Real Madrid terus berlanjutan selepas juara bertahan Liga Juara-Juara itu dikejutkan dengan kekalahan 1-0 di tangan CSKA Moscow dalam aksi Kumpulan G, awal pagi tadi.


Nikola Vlasic, pemain yang dipinjam dari Everton, memberikan CSKA pendahuluan selepas dua minit permainan bermula di Stadium Luzhniki selepas mengambil kesempatan daripada benteng pelawat yang leka untuk menyumbat gol dari tengah kotak penalti.

Casemiro dan Karim Benzema sekadar mampu melihat bola percubaan mereka sebelum rehat terkena palang dan pengurus pasukan, Julen Lopetegui, membawa masuk Luka Modric dan Mariano Diaz dari bangku simpanan.

Pemain utama seperti Isco dan Gareth Bale terpaksa dilupakan khidmat mereka untuk aksi di Luzhniki selepas mengalami kecederaan dan kapten, Sergio Ramos, direhatkan sehingga membawa kepada situasi di mana mereka gagal menyumbat gol dalam tiga aksi berturut-turut tatkala tuan rumah menikmati kemenangan walaupun Igor Akinfeev dilayangkan kad merah pada minit ke-96.

Keylor Navas kembali menjaga gawang tetapi dia dibolosi hanya selepas 65 saat beraksi. Jaringan pembukaan itu tercetus hasil daripada percubaan Vlasic yang mengambil kesempatan daripada kesilapan Toni Kroos dan Raphael Varane.

Akinfeev menafikan peluang Kroos untuk mengubah kedudukan tetapi Fedor Chalov seharusnya menjadikan kedudukan 2-0 selepas pelawat mempamer aksi bertahan yang begitu longgar tetapi rembatannya sekadar mudah ditangkap Navas.

Sepakan kemas Casemiro dari jarak 25 ela serta tandukan Benzema juga sekadar singgah ke palang gol dan memaksa Lopetegui membawa masuk Modric dan Mariano.

Namun, kebuntuan Madrid berterusan setelah Benzema mensia-siakan peluang terbaik dan rembatan voli Marco Asensio tersasar.

Mariano menghasilkan tandukan padu yang singgah ke tiang gol pada minit terakhir perlawanan dan usaha yang sama daripada Varane juga tersasar jauh sebelum Akinfeev menerima layangan kad merah akibat mempersoalkan tindakan pengadil, Ovidiu Hategan.