Penganalisis bola sepak negara, Asmawi Bakiri, berpandangan jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada, perlu bijak merencanakan pendekatan taktikalnya untuk perlawanan menentang Korea Utara di Bangkok malam ini selepas memiliki barisan terbaik.

Buat julung kalinya, Vingada berpeluang menghimpunkan antara barisan terbaik sejak membimbing skuad negara pada Jun lalu.

Ini kerana beberapa tonggak harapan negara dapat menyertai pasukan kali ini, antaranya penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan, pemain pertahanan, Fadhli Shas, Fazly Mazlan dan S. Kunanlan.

Asmawi menegaskan kehadiran tiga pemain yang melengkapkan senarai 10 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sememangnya merupakan kelebihan buat Harimau Malaya.

"Nelo Vingada akan menurunkan rata-rata pemain JDT dan pemain luar mengikut posisi yang diperlukannya. Bagi saya, ia satu kelebihan kerana dapat memudahkan Vingada untuk mencorakkan permainan.

"Kini, segala-galanya terpulang kepadanya untuk mencorak dan memilih pemain bagi menghadapi Korea Utara," ujarnya.

Skuad negara, bagaimanapun, kehilangan ketua pasukan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Baddrol Bakhtiar ekoran penggantungan perlawanan dan kecederaan.

Namun, Asmawi berasakan ketiadaan mereka tidak akan memberi kesan besar kepada pasukan kerana pemain sedia ada mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan.