Malaysia gagal memperbaiki prestasinya menentang Hong Kong, malah meraih keputusan lebih buruk apabila tewas 0-2 berdepan lawannya itu dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, malam ini.

Malaysia kekal berada di tangga tercorot Kumpulan B dengan hanya mengutip satu mata selepas terikat 1-1 dengan lawan yang sama di Stadium Hang Jebat, Melaka, 5 September lalu.

Kekalahan malam ini turut melanjutkan penantian Nelo Vingada untuk melakar kemenangan pertama sejak dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan pada Mei lalu.

Buat Hong Kong, Roberto Orlando berjaya menghidu peluang pertama selepas melihat Hafizul Hakim Khairul, sedikit keluar dari pintu golnya. Dia melakukan sepakan lambung jauh, namun mujur penjaga gol dari Perak itu sempat melompat untuk menepis keluar pada minit ke-20.

Selepas itu, sekurang-kurangnya dua kali pintu gol Malaysia diancam, bermula dengan usaha pemain kelahiran Ghana, Godfred Karikari, yang dipatahkan Nazirul Naim Che Hashim.

Ia disusuli percubaan Jordi Tarres yang melakukan rembatan deras yang terkena penjuru palang ketika Hafizul hanya mampu melihat.

Hong Kong mula menunjukkan penguasaan di bahagian depan, dengan Malaysia masih gagal mencari peluang baik di depan gol lawan.

Bermula pada minit ke-40, nasib malang menimpa Malaysia apabila kehilangan perancang utamanya, Safiq Rahim, kerana dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Sri Lanka, Nivon Robesh Gamini.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dikesan oleh pengadil, memijak paha Tarres ketika dia menerima asakan daripada pemain Hong Kong itu.

Tiga minit kemudian, pemain berasal dari Barcelona yang dipijak oleh Safiq itu menjaringkan gol pendahuluan tuan rumah menerusi tandukan hasil satu hantaran lintang.

Bagi memulakan 45 minit kedua, jurulatih pasukan negara, Vingada, membuat perubahan drastik dengan memasukkan Darren Lok untuk menggantikan Safawi Rasid.

Bagaimanapun, baru tiga minit perlawanan dimulakan, Hong Kong sudah menemui gol keduanya menerusi Jaimes McKee, juga menerusi tandukan daripada hantaran lintang.

Selepas mendahului 2-0, Hong Kong beraksi lebih bersahaja sementara Malaysia pula jarang-jarang melakukan serangan.

Kemasukan Wan Zack Haikal Wan Noor merancakkan sedikit permainan Malaysia, dan dia meraih sepakan percuma ketika berusaha melepaskan diri untuk menyusup ke dalam kotak penalti.

Dia mengambil sepakan tersebut, malangnya bola hanya menyentuh palang Hong Kong, sebelum Leonardo Sandro memanfaatkan satu serangan balas dengan melakukan penyudah yang dinafikan keputusan ofsaid.

Tiada percubaan bahaya dapat dilakukan selepas itu, dan kedudukan 2-0 kekal berpihak kepada Hong Kong.

Peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia semakin sempit dengan berbaki tiga perlawanan, menentang Korea Utara secara timbal balik dan Lubnan di tempat lawan.

"Sikap pemain kita hebat malam ini, mereka cuba mencari peluang dan membuat serangan. Mereka mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak boleh menafikan kemenangan Hong Kong.

"Persoalan saya sekarang, jika kita bermain dengan kesebelasan utama, mungkin kita tidak kalah dan tidak dikenakan dua gol sebegitu," kata Vingada, yang dilantik sebagai pengurus pasukan, hari ini.

Sementara itu, jurulatih Hong Kong, Kim Pangon, berkata: "Perlawanan di Malaysia agak sukar kerana kami tidak bersedia, kami tidak membuat persediaan rapi.

"Tetapi perlawanan di laman sendiri, kecergasan kami lebih baik berbanding bermain di Malaysia."

Gambar: Laman web rasmi AFC