Penyertaan pemain sensasi remaja negara, Luqman Hakim Shamsudin, bukan kerana dipengaruhi Tan Sri Vincent Tan, dan penyerang itu sendiri perlu memenuhi jangkaan yang terletak dibahunya.

Produk Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) itu berkelana ke Eropah, dua minggu lalu, dan bakal menyarung jersi nombor sembilan di KV Kortrijk.

Menurut Tan Sri Vincent Tan, yang tampil dalam program Bola@Mamak di Pulau Redang hari ini, Luqman Hakim bukan hadir atas kapasitinya sebagai pemilik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Cardiff City, dan pasukan Belgium itu.

"Seseorang pengurus mempunyai pengalaman dalam bola sepak.

"Pengalaman saya pula terhad sahaja jadi saya perlu berinya kesempatan untuk buat keputusan, misalnya dalam soal Luqman Hakim.

"Saya cuma boleh mencadangkannya supaya beri muka kepada saya selaku pemilik dari Malaysia untuk berikan peluang kepada Luqman Hakim.

"Mungkin dia boleh diberikan peluang 10 minit dan kalau dia dapat menjaringkan gol, mana tahu dia boleh diturunkan dalam kesebelasan utama.

"Tetapi saya tidak boleh mengarahkan pengurus atau mengugut akan memecatnya jika tidak memilih Luqman Hakim," katanya.

Bola@Mamak bersiaran dari lokasi eksotik, Pulau Redang bersama penampilan tetamu istimewa , Tan Sri Vincent Tan.

Posted by Astro Arena on Monday, August 24, 2020


Vincent menganggap penglibatannya dalam bola sepak sebagai satu langkah drastik dengan menyifatkan pembelian Cardiff dilakukan dalam detik kegilaan, oleh itu mengapa tidak dia melakukan tindakan berani dengan memberi kesempatan kepada jurulatih muda tempatan untuk mendapat tempat di Eropah.

"Cardiff pernah memberi kesempatan kepada pemain dari Selangor, Perak dan Kedah untuk menjalani latihan di sana. Kalau mereka minta tolong, saya sedia bantu.

"Peluang jurulatih muda juga ada, (itupun) kalau mereka sanggup tetapi jangan minta gaji terlalu tinggi.

"Di sana ada beberapa peringkat lesen kejurulatihan. Barangkali pada satu hari kelak mereka boleh menguruskan kelab di luar negara dan kalau berpeluang, saya lebih suka jurulatih dari Malaysia untuk menguruskan Cardiff dan Kortrijk.

"Ia bagus untuk negara kita kerana saya dari Malaysia dan akan melakukannya kalau berpeluang mempromosikan negara sendiri, sebab itulah sudah 10 tahun Cardiff mempromosikan negara menerusi slogan 'Visit Malaysia'."