Villarreal, Getafe berang dikaitkan tuduhan atur perlawanan

Oleh Muzaffar Musa 16 Mei 2020 25
Villarreal, Getafe berang dikaitkan tuduhan atur perlawanan
Dua kelab LaLiga, Villarreal dan Getafe, menafikan ada melakukan apa-apa salah laku selepas laporan di Sepanyol mendakwa perlawanan di antara kedua-dua pasukan itu sedang menjadi sebahagian daripada siasatan pengaturan perlawanan.

Getafe dan Villarreal terikat 2-2 di Coliseum Alfonso Perez pada 18 Mei tahun lalu.

Ia merupakan perlawanan penutup musim buat kedua-dua pasukan itu, di mana Getafe perlu menang untuk merebut peluang ke Liga Juara-Juara Eropah.

El Pais melaporkan perlawanan itu sedang berada di bawah penelitian pihak polis sebagai sebahagian daripada Operasi Oikos, yang sedang melakukan siasatan terhadap pihak yang memperoleh keuntungan daripada pertaruhan dan pengaturan perlawanan.

Kedua-dua pasukan itu mengeluarkan kenyataan masing-masing semalam.

"Villarreal CF dan pasukan utamanya menolak tuduhan yang dibuat dalam beberapa jam lalu,"  kata kenyataan daripada pasukan Yellow Submarine itu.

"Kedua-dua Villarreal CF dan pasukan utamanya ingin menjelaskan bahawa mereka sama sekali menolak tuduhan yang dibuat dalam beberapa jam lalu dan ingin secara terbuka menyangkal secara jelas dan tegas mengenai tuduhan yang membabitkan mereka dengan pengaturan perlawanan ketika menentang Getafe.

"Seperti yang dinyatakan sebelumnya, kelab ini mengecam tindakan berkenaan yang merosakkan kemuliaan sukan dan saingan ini, dan berpegang kepada prinsip ketelusan, etika, integriti dan permainan adil sebagai nilai asas dalam falsafah entiti ini.

"Villarreal CF akan mengkaji dan mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap situasi ini."
 
Getafe juga berkata bahawa mereka akan mempertimbangkan tindakan undang-undang dan dengan tegas akan mempertahankan penyerang veteran mereka, Jorge Molina, yang disebut-sebut dalam laporan itu.

Getafe juga menyatakan kelab itu akan"menawarkan sokongan tidak berbelah bahagi" kepada Molina dan "kecewa terhadap pencabulan serius terhadap hak asasinya yang tidak bersalah".

Kenyataan itu menambah: "Kami ingin menyebarkan mesej penolakan dan secara pastinya menolak sebarang implikasi yang berkaitan dengan perkara ini.

"Getafe CF secara terbuka mengecam tingkah laku seperti ini dan tidak akan membiarkan reputasinya tercemar dan integritinya dipersoalkan."

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen