Villarreal akan sentiasa jadi rumah saya -- Cazorla ucap selamat tinggal

Oleh Ammar Hakim 20 Julai 2020 444
Villarreal akan sentiasa jadi rumah saya -- Cazorla ucap selamat tinggal
Santi Cazorla berkata Villarreal akan sentiasa menjadi 'rumah' selepas bintang veteran itu mengucapkan selamat tinggal kepada kelab LaLiga itu selepas dikaitkan dengan skuad kendalian Xavi, Al-Sadd di Qatar.

Cazorla dan kapten pasukan, Bruno Soriano, turun dalam aksi terakhir mereka buat Villarreal semalam.

Pemain berusia 35 tahun itu yang membuat impak kali ketiga bersama Villarreal selepas pulih daripada kecederaan tumit pada 2018, telah dikaitkan dengan perpindahan ke Al-Sadd -- pasukan yang dikendalikan oleh bekas kapten Barcelona, Xavi.

Cazorla yang juga bekas perancang Arsenal menoktahkan khidmatnya bersama Villareal dengan penuh bergaya, melakukan lorongan buat jaringan pembukaan Andre-Frank Zambo Anguissa pada minit ke-71.

Cazorla mengakhiri kempen 2019-20 dengan 11 gol dan 10 bantuan jaringan di mana Villareal menamatkan saingan di tempat kelima LaLiga dan layak ke Liga Europa.
  "Saya berterima kasih kepada kelab ini dan peminat kerana telah membuka pintu kepada saya dan sentiasa memberikan sokongan kepada saya sejak sekian lama," kata Cazorla.

"Sudah tiba masanya untuk mengakhiri karier di sini, ini adalah keputusan yang telah lama saya fikirkan. Setiap perlawanan saya sukar memberikan 100 peratus dan saya harus jujur dengan diri sendiri dan kelab.

"Saya berasakan bahawa kelab ini sentiasa akan kekal dalam diri saya. Ini bukan selamat tinggal, ini adalah 'kita akan bertemu lagi', kerana Villarreal akan selalu menjadi rumah saya."
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen