Mario Balotelli digugurkan daripada skuad Nice untuk perlawanan Ligue 1 dengan Toulouse.

Balotelli terpinggir daripada senarai 18 pemain yang dinamakan oleh pengurus, Patrick Vieira, untuk pertembungan itu awal pagi esok.

Satu kenyataan di laman sesawang Nice mengumumkan skuad itu hanya menyatakan bahawa Balotelli tidak muncul atas keputusan Vieira.

Balotelli terlepas persiapan pra-musim dengan Nice berikutan masa depannya yang tidak menentu dengan kelab itu sambil Marseille antara pasukan yang dikaitkan dengan khidmat penyerang berkenaan.

Jurulatih Itali, Roberto Mancini, bulan lalu berkata Balotelli mengalami masalah kecergasan dan rakan sepasukannya di Nice, Dante, minggu ini mendedahkan pemain berusia 28 tahun itu kembali daripada percutian dengan beberapa pertambahan berat badan.

Balotelli telah membuat dua kemunculan utama Ligue 1 musim ini dan berada di bangku simpanan dalam aksi terakhir ketika Nice tumpas 0-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG).

Penyerang itu dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kekalahan itu tetapi belum dapat memecah kebuntuan jaringan musim ini setelah meledak 33 gol liga dalam dua kempen sebelum ini bersama Nice.