Pemain tengah Bayern Munich, Arturo Vidal, kini berada pada tahap yang sama dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, menurut bekas pemain kebangsaan Colombia, Giovanni Hernandez.

Vidal memenangi empat kejuaraan Serie A bersama Juventus sebelum berhijrah ke Bayern pada 2015, di mana dia memenangi dua kejuaraan domestik di bawah kendalian Pep Guardiola.

Pemain berusia 29 tahun itu juga telah menikmati kejayaan yang menakjubkan dengan Chile apabila memenangi Copa Amerika pada 2015 dan 2016, dan dia mendapat tempat dalam senarai pendek Ballon d'Or France Football.

Hernandez, yang bermain bersama Vidal untuk Colo-Colo sebelum kedua-duanya menyertai Bayer Leverkusen pada 2007, menyatakan bahawa pemain tengah itu tidak diragui merupakan salah seorang pemain terbaik di dunia.

"Vidal berada sama taraf dengan Cristiano dan Messi," kata pemain berusia 40 tahun itu kepada Radio ADN.

"Sebagai seorang pemain, dia menyedari potensinya dan tahu bagaimana untuk memanfaatkannya. Dia salah seorang pemain terbaik di dunia."

Hernandez juga memuji etika kerja bintang Arsenal, Alexis Sanchez, yang menghabiskan setahun di Colo-Colo secara pinjaman selepas menyertai Udinese.

"Dia adalah seorang yang suka bermain - lucu, gembira, merendah diri," kata Hernandez. "Itulah yang saya ingat tentang Sanchez.

"Hari ini, dia lebih daripada seorang lelaki. Dia sentiasa bekerja lebih keras daripada yang lain, dan sebab itu dia mencapai segala yang dipunyainya sekarang."

Chile bakal bertemu Colombia dalam kelayakan Piala Dunia malam ini.