Vidal: Perlu fokus 11 final LaLiga

Oleh Nafis Abdullah 31 Mei 2020 56
Vidal: Perlu fokus 11 final LaLiga
Arturo Vidal berharap Barcelona dapat melepasi halangan 11 aksi ibarat final dalam LaLiga untuk memastikan dia menamatkan musim dengan kejuaraan utama kesembilan berturut-turut.

Bintang Chile, Vidal, memenangi empat kejuaraan Scudetto berturut-turut bersama Juventus serta menjuarai Bundesliga sebanyak tiga kali bersama Bayern Munich.

Pemain berusia 33 tahun itu menikmati status juara LaLiga bersama Barca pada musim lalu dan mahu mengulangi kejayaan itu bagi kempen 2019-20.

"Tidak banyak pemain melakukan perkara sebegini sebelum ini, jadi saya berbangga," katanya.

"Saya mahu meraih kejuaraan kesembilan di Barca, jadi saya perlu kerja keras untuk terus mencipta sejarah.

"Jumlah 11 perlawanan yang dimiliki kini ibarat aksi final. Ia akan menjadi cabaran sukar memandangkan Real Madrid mengekori rapat, jadi kami perlu fokus untuk menang dalam setiap perlawanan serta mempersiapkan diri untuk saingan Liga Juara-Juara Eropah."


Bermula Isnin depan, kesemua kelab LaLiga dibenarkan menjalani latihan penuh dan menggunakan bilik persalinan mengikut protokol yang ditetapkan.

"Saya sangat gembira dapat kembali berlatih selepas tempoh berkurung selama beberapa bulan," tambahnya.

"Kini, bagus untuk kembali ke padang bersama rakan sepasukan. Ia merupakan dua bulan yang sukar tetapi kami kembali berlatih dan berasa sangat baik.

"Saya sangat gembira. Saya banyak berbual ketika tempoh berkurung dengan rakan sepasukan dari jauh, berbincang bagaimana untuk menghadapi situasi itu. Namun, kami harus persiapkan diri selepas mengharungi tempoh dua bulan itu."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen