Jurulatih Itali, Giampiero Ventura, mengesahkan Marco Verratti akan beraksi dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Macedonia.

Verratti tidak berada pada tahap terbaik ketika Itali seri 1-1 dengan Sepanyol di Turin pada Khamis, tetapi selepas Riccardo Montolivo mengalami kecederaan lutut, pemain tengah Paris Saint-Germain itu berpeluang untuk membuktikan kualiti dimilikinya.

Daniele De Rossi menjaringkan gol Itali menerusi sepakan penalti dan Ventura memberikan bayangan bahawa dia bakal digandingkan bersama Verratti.

"Verratti bagaikan harta karun buat bola sepak Itali, jika dia tidak mempunyai sebarang masalah, dia akan beraksi. Dia tidak berada di tahap yang terbaik untuk bertemu Sepanyol," ujar Ventura.

"Saya berpuas hati dengan persembahan De Rossi ketika bertemu Sepanyol dan saya tidak menyesal kerana memilihnya.

"Mampukah mereka beraksi bersama? De Rossi dan Verrati memiliki kualiti yang berbeza tetapi kami akan cuba lihat dalam perlawanan ini.

"Berdepan Macedonia bukan satu tugas yang mudah. Mereka telah tewas dua perlawanan kerana nasib tidak menyebelahi mereka. Ini merupakan perlawanan yang penting buat kami.

"Kami mampu mengharapkan kepada pemain muda untuk menyertai pasukan ini tetapi ia akan memakan masa yang panjang."

Kesilapan Gianluigi Buffon merupakan peluang buat Vitolo memberikan gol pendahuluan kepada Sepanyol, namun penjaga gol itu memberitahu Itali mencuba perkara yang baru di bawah kendalian Ventura.

"Kami sedang membuat satu identiti baru bersama Ventura, kami terus mencuba bersaing dalam 20 minit terakhir bertemu Sepanyol.

"Macedonia adalah pasukan yang berpengelaman, kami tidak boleh memandang rendah kepada mereka."

Ventura menghantar pulang Graziano Pelle daripada aksi perlawanan antarabangsa selepas penyerang itu enggan bersalam dengannya selepas digantikan dan jurulatih itu menyelar perbuatan Pelle.

"Saya percaya terdapat rasa kurang hormat bukan sahaja kepada saya tetapi kepada pasukan, ia merupakan satu tindakan yang tidak boleh diterima," tegas Ventura.