ALBANIA 0 ITALI 1

Giampiero Ventura percaya Itali telah mengambil satu lagi langkah kecil ke hadapan selepas jaringan Antonio Candreva mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Albania dalam pertembungan kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.


Sudahpun mengakhiri kempen Kumpulan G di tangga kedua di belakang Sepanyol, Itali perlu menamatkan pusingan kelayakan dengan kemenangan untuk memastikan tempat dalam play-off ke Russia 2018 selaku pasukan pilihan.

Skuad Azzurri kelihatan bergelut di Shkoder, namun Candreva berada di kedudukan tepat pada masanya untuk menyudahkan umpanan lintang Leonardo Spinazzola pada minit ke-73.

Keputusan itu melegakan ketua jurulatih, Ventura, yang berdepan tekanan selepas dikritik hebat susulan keputusan seri 1-1 dengan Macedonia di tempat sendiri, tempoh hari.

"Ini adalah objektif yang telah kami tetapkan. Kami telah membuat satu lagi langkah kecil ke hadapan, namun kami terus menguasai permainan dengan buruk dan melepaskan bola terlalu kerap," katanya kepada Rai Sport.

"Satu-satunya peluang yang mereka miliki telah diberikan oleh kami. Saya gembira dengan pemain-pemain saya kerana mereka telah bertungkus-lumus dan saya yakin dengan apa yang saya katakan bahawa kami hanya memerlukan masa untuk melakukan sesuatu yang besar terhadap skuad ini.

"Saya gembira dengan semua pemain, kami berdepan beberapa kekangan dan kecederaan, tetapi kami mahu mencuba sesuatu.

"Melihat apa yang berlaku hari ini, ada beberapa perkara boleh dilakukan. Saya berharap dapat menyenaraikan beberapa pemain tercedera untuk aksi play-off, jika tidak kami akan menghadapi masalah," tambahnya.

Aksi timbal balik play-off hanya akan diketahui apabila undiannya diadakan di Zurich pada 17 Oktober nanti.