Jamie Vardy tidak berbincang dengan rakan sepasukannya di Leicester City mengenai kemungkinan akan mewakili England semula, kata Ben Chilwell.

Pemain berusia 32 tahun itu bersara daripada arena antarabangsa pada Ogos tahun lalu untuk memberi fokus kepada saingan kelab bersama Leicester.

Dia mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 11 gol musim ini dan pengendali England, Gareth Southgate, sentiasa membiarkan pintu terbuka untuknya kembali ke pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, Chilwell, yang menyertai skuad The Three Lions itu bagi menghadapi saingan kelayakan Euro 2020 berdepan Montenegro dan Kosovo, tidak pasti jika Vardy berminat untuk dipanggil semula.

"Vardy tahu tentang dirinya dan semua orang sedar mengenai perkara itu," katanya.

"Sudah tentu kami ketawa dan berjenaka dengannya, kami berkata 'anda tampil dengan bagus, apa anda fikirkan?'

"Dia tidak berkongsi tentang perkara itu dengan kami. Vardy dan Southgate telah berbincang dan meraih keputusan yang dibuat ketika ini.

"Itu antara mereka berdua dan untuk kami masuk campur, ia agak bodoh."

Seorang lagi pemain The Foxes, James Maddison, telah menyertai tiga senarai skuad kendalian Southgate itu tetapi masih belum meraih penampilan sulung bersama skuad senior itu.

Sebelum ini, Maddison dilihat berada di kasino sehari sebelum disingkirkan daripada skuad England akibat masalah kesihatan tetapi Chilwell berasa pemain tengah itu sedia untuk meraih penampilan pertama.

"Anda lihat prestasinya bersama kelab. Maddison beraksi sangat baik dan dia mempunyai persefahaman bagus dengan Vardy di atas padang," katanya.

"Maddison sangat fokus ketika ini. Dia kembali bersama skuad England dan gembira untuk berada di sini sambil menunggu peluang untuk beraksi buat England."