Raphael Varane enggan mengulas mengenai video bantuan pengadil (VAR) yang memihak kepada Real Madrid selepas pasukan gergasi LaLiga itu menghampiri gelaran dengan kemenangan ke atas Deportivo Alaves di Estadio Alfredo Di Stefano awal pagi tadi.

Gol sepakan penalti Karim Benzema dan jaringan Marco Asensio memastikan Madrid menang 2-0 dan berkelebihan empat mata di depan pencabar terdekat, Barcelona, berbaki tiga lagi perlawanan.

Madrid diberikan sepakan penalti dalam tiga perlawanan berturut-turut sementara VAR pula diperlukan untuk mengesahkan gol Asensio, yang pada awalnya dibatalkan kerana Benzema terlebih dahulu dikesan ofsaid.

Varane, yang membantu Madrid mengekalkan rekod tanpa bolos bagi lima perlawanan berturut-turut, tidak berminat untuk membincangkan mengenai perkara itu.

"Cakap-cakap di luar tidak memberikan kesan kepada kami. Kami fokus untuk memenangi dan memberikan segala-galanya di atas padang," kata pertahanan itu kepada Movistar.

"Kami tidak mengawal VAR, kami mengawal usaha dan sikap kami di atas padang."

Madrid menghampiri gelaran liga pertama sejak musim 2016-17 dengan Barcelona muncul pemenang dua musim terakhir.

Varane berkata Madrid masih perlu beraksi dalam tiga aksi final menentang Granada, Villarreal dan Leganes untuk menamatkan liga musim ini.

"Kami fokus keoada objektif kami dan masih ada tiga final buat kami.

"Amat penting untuk memenanginya, ia sudah pasti tetapi ia juga penting untuk kami tidak dibolosi.

"Ia akan memberikan kami keyakinan.

"Kami akan meneruskan dinamik positif yang kami ada," tambahnya.