REAL MURCIA 0 BARCELONA 3

Bos Barcelona, Ernesto Valverde, gembira dengan persembahan Jose Arnaiz yang membuat penampilan pertama bersama pasukan ketika menewaskan Real Murcia 3-0 dalam Copa del Rey di Nueva Condomina, awal pagi tadi.


Pemain berusia 22 tahun itu menandakan permulaannya bersama Barcelona dengan melakukan jaringan untuk mengalahkan kelab Segunda B itu.

Arnaiz, yang sebelum ini beraksi cemerlang dalam skuad Barcelona B bimbingan Gerard Lopez sejak tiba dari Real Valladold, dilihat berbahaya menerusi kaki kirinya dalam ketiadaan pemain senior, Lionel Messi and Luis Suarez, yang sedang berehat.

Valverde percaya ia adalah satu permulaan yang memberangsangkan buat penyerang itu, malah dia gembira dapat memberi masa permainan kepadanya untuk bersama pemain tengah, Carles Alena dan Marc Cucurella, yang turut membuat kemunculan pertama.

"Dia seorang pemain yang ada keyakinan diri," kata Valverde mengenai Arnaiz. "Dia mempunyai mentaliti gol. Saya percaya dia dapat membantu kami dalam perlawanan ini dan ia sangat baik bagi mereka (pemain B) untuk datang dan menghadapi situasi seperti ini.

"Dia menjaringkan satu gol yang hebat, dia mempunyai sepakan yang kuat. Ia langkah pertama. Kami akan lihat jika mereka dapat membantu kami lagi."

Kemenangan itu meletakkan penyandang juara itu dalam landasan tepat untuk mara sehingga ke pusingan 16 dan mengekalkan prestasi baik Barca musim ini, dengan skuad Catalan itu memenangi 12 daripada 13 perlawanan mereka dalam semua pertandingan sejak tewas kepada Real Madrid dalam Supercopa de Espana.

"Ia adalah hari yang lazim dalam kejohanan. Pasukan lawan memiliki semangat tinggi," kata Valverde.

"Pada separuh masa pertama, kami tidak terlalu jelas. Pada babak kedua, kami berjaya mendapatkan dua lagi gol.

"Memang benar mereka bermain dengan baik tetapi saya gembira kerana pemain B membuat penampilan pertama mereka, kami menang dan kami perlu teruskan," katanya.