Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, berasakan kecederaan yang melanda penyerangnya, Lionel Messi, memberi peluang buat pemain lain menyerlah walaupun mengakui pasukannya akan merindui kapten mereka itu.

Messi terpaksa direhatkan untuk tempoh tiga minggu selepas patah tangan kanan dalam aksi menentang Sevilla, awal pagi tadi.

Kecederaan itu menyaksikan Messi akan terlepas aksi Liga Juara-Juara Eropah, Khamis ini, dan turut tidak dapat beraksi dalam pertembungan El Clasico menentang Real Madrid, Ahad depan.

Untuk rekod, Barca sebelum ini tidak pernah menang dalam pertemuan El Clasico tanpa Messi sejak penampilan pertamanya pada 2004.

Barca juga tewas kepada Athletic Bilbao apabila Messi direhatkan bulan lalu.

Valverde tidak dapat membayangkan cabaran yang bakal dilalui selepas ini tanpa kelibat pemain yang dilabelnya sebagai "tangkal bertuah" itu.

"Ia jelas satu kerugian besar," kata Valverde kepada wartawan.

"Kami tahu siapa dia dan apa sumbangannya kepada pasukan. Kami tahu apa yang pihak lawan rasakan apabila berdepan dengan Leo.

"Namun, kami perlu sedar yang dia tidak akan dapat beraksi dan kami perlu menerimanya..

"Kami akan mempersiapkan pasukan tetapi sudah pasti kami akan merasai kehilangan tersebut.

"Dia merupakan asas kepada pasukan yang baik dan sentiasa memberikan aksi yang diingati, namun kami perlu mengatasi perkara ini dan mencari jalan terbaik.

"Kami akan merinduinya sama ada menang atau kalah tetapi kami mahu merinduinya dengan kemenangan," katanya.

Barca melonjak ke tangga teratas liga selepas meraih kemenangan pertama bulan ini.

Messi menghasilkan umpanan menarik yang disudahkan Philippe Coutinho pada awal permainan sebelum meledak gol buat Barca pada minit ke-12.

Namun, Barca harus berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Marc-Andre ter Stegen, atas beberapa siri penyelamatan yang baik sebelum Luiz Suarez dan Ivan Rakitic memastikan kemenangan 4-2 pasukan itu ke atas Sevilla, awal pagi tadi.

"Ia satu perlawanan yang sukar buat kami.

"Mereka pasukan yang baik dan kami kehilangan Messi.

"Kini kami di tangga teratas, ia bukan sesuatu yang mudah dengan persaingan liga yang sangat hebat.

"Adakalanya penyerang kami gagal memberikan aksi terbaik, namun pada akhirnya kami tetap ada Luiz Suarez," tambah Valverde.