Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, tidak mahu memikirkan tentang masa depan pasukannya selepas Catalonia mengumumkan kemerdekaan daripada Sepanyol, semalam.

Ahli Parlimen Catalan menyokong usul untuk keluar dari Sepanyol 70-10 selepas wujud referendum yang mengundang kontroversi pada awal bulan ini.

Mahkamah Perlembagaan Sepanyol mengisytiharkan bahawa undian itu tidak sah dan ia diumumkan oleh Senator, semalam, sejurus selepas pengisytiharan Catalonia, susulan langkah-langkah yang telah diluluskan untuk pemerintahan langsung kepada Catalonia.

Barcelona, Espanyol dan Girona adalah tiga kelab Catalan yang bersaing dalam LaLiga tetapi presiden badan Liga Bolasepak Profesional Kebangsaan (LFP), Javier Tebas, mengingatkan bahawa mereka tidak boleh bersaing dalam LaLiga sekiranya Catalonia telah keluar dari Sepanyol.

Situasi itu mengundang pelbagai spekulasi dalam kem Barca, namun Valverde menolak untuk berbicara mengenainya.

"Kini kami melalui hari yang sibuk. Semua orang mempunyai tanggungjawab dan tanggungjawab saya adalah memastikan pasukan saya menang.

"Ia masih belum dilakukan (pengeluaran Barcelona dari LaLiga). Kita bercakap tentang satu andaian. Saya hanya mengikuti apa yang berlaku di sini. Saya memiliki pendapat saya sendiri dan akan menyimpannya sahaja kerana fokus saya hanya kepada sukan.

"Saingan liga tanpa Barca? Apa yang saya tahu, esok kami menghadapi aksi liga dan kami akan cuba untuk menang," kata Valverde.