Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, percaya aksi hujung minggu yang tidak menentu dalam La Liga bermakna pasukannya masih tidak selesa berada di puncak liga.

Lionel Messi and Paulinho menemui sasaran apabila Barca mengatasi bekas skuad Valverde, Athletic Bilbao, 2-1 sementara pencabar kuatnya, Real Madrid, mengalami kekalahan mengejut 2-1 di Girona.

Keputusan itu meletakkan Barca berkelebihan lapan mata berbanding penyandang juara itu manakala Valencia berada di tangga kedua dengan dibezakan empat mata.

Skuad bimbingan Marcelino itu berhempas-pulas untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Alaves dan Atletico Madrid terikat 1-1 menentang Villarreal.

"LaLiga adalah rumit, ia liga yang sukar," kata Valverde dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Olympiacos dalam Kumpulan D, Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Karaiskakis, esok.

"Kami sukar untuk menang di San Mames, Madrid tewas di Girona, Atletico Madrid hanya seri dengan Villarreal.

"Valencia berada di tempat kedua dan mereka berhempas pulas untuk menewaskan Alaves. Setiap mata sukar untuk diperolehi. Anda perlu bekerja keras dalam setiap perlawanan," katanya.

Barcelona dijangka memastikan tempat dalam pusingan 16 terakhir tetapi Valverde lebih bimbangkan bahagian pertahanan tengahnya.

Gerard Pique digantung berikutan kad merah, sementara Javier Mascherano mengalami masalah kaki dan keadaannya akan dinilai.

"Sejak perlawanan di Murcia, kaki Mascherano mengalami jangkitan. Kami perlu menilai keadaannya," tambah Valverde. "Saya akan lihat dalam latihan hari ini.

"(Thomas) Vermaelen sebelum ini juga mempunyai isu dengan kecergasaan tetapi dia disahkan cergas.

"Diharapkan mereka boleh bermain esok tetapi kami akan menyelesaikan masalah ini dalam sesi latihan nanti."

Valverde, yang tiga kali memenangi Liga Super Greece, tidak sabar untuk mengunjungi bekas kelabnya, Olympiacos, di Stadium Karaiskakis di mana dia mempunyai banyak kenangan manis.

"Saya pasti walaupun mereka akan mengalu-alukan kedatangan saya, mereka akan menyokong pasukan mereka esok," katanya.

"Ada beberapa perlawanan istimewa ketika saya di sini. Perlawanan di mana kami memenangi liga, beraksi dalam Liga Juara-Juara menentang pasukan besar dan final Piala Greece.

"Ia bukan hanya penyokong Olympiacos tetapi penyokong Greece, yang umumnya sangat berbeza dengan negara lain."