UNL: Roberto Mancini percaya kekuatan Itali-Sepanyol setara 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Disember 2020 133
  UNL: Roberto Mancini percaya kekuatan Itali-Sepanyol setara 
Roberto Mancini menghidu persamaan di antara skuad kendaliannya, Itali, dan Sepanyol selepas diundi bertemu dalam separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL). 

Itali akan menganjurkan pusingan akhir kejohanan itu pada Oktober 2021 dengan Milan dan Turin dipilih sebagai rumah rumah.

Skuad Azzurri mengetuai Kumpulan A1 di depan Belanda dengan reputasi 22 tanpa tewas dan mereka perlu melepasi ranjau La Roja sekiranya berhasrat mengintai perlawanan akhir di San Siro kelak. 

Anak buah Luis Enrique itu pula lolos daripada Kumpulan A4 yang turut dihuni Jerman, dibelasah 6-0 bulan lalu, manakala Belgium akan berhitung dengan Perancis dalam satu lagi aksi separuh akhir. 


 

Justeru, seperti skuadnya, Mancini percaya Sepanyol mula menuai faedah daripada rombakan yang diketengahkan.

"Saya rasa posisi Sepanyol mirip dengan kami," kata bekas pengurus Inter itu selepas majlis undian malam tadi.

"Mereka telah membuat rombakan besar tetapi masih memiliki beberapa pemain hebat dan berpengalaman seperti Sergio Ramos.

"Mereka telah membina sebuah pasukan yang mantap, beraksi lebih menyerang dengan dibantu kemahiran teknikal di bahagian tengah. Corak permainan mereka dan kami tidak banyak bezanya. 

"Mereka mungkin meletakkan pemain sayap pantas agar kelihatan seperti sukar dijangkakan. Ia akan menjadi perlawanan yang menarik."

Mancini tidak percaya situasi kontrak Ramos di Real Madrid akan menjejaskan fokus pemain veteran sepertinya menjelang pusingan akhir itu. 

"Dia seorang pemain yang hebat, dia memiliki kemahiran teknikal dan seorang pemain yang berkarisma. Sudah tentu dia bukan sahaja penting buat Real Madrid bahkan untuk Sepanyol. 

"Dia mampu menterjemahkan kegigihannya dan ia elemen penting buat seorang ketua pasukan."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen