UNL: Luis Enrique pertahan silap De Gea punca rekod Sepanyol berkecai di tangan Ukraine 

Oleh Shaiful Shamsudin 14 Oktober 2020 1270
 UNL: Luis Enrique pertahan silap De Gea punca rekod Sepanyol berkecai di tangan Ukraine 
UKRAINE 1 SEPANYOL O

Luis Enrique tidak mahu sesiapa pun menyalahkan David de Gea atas kekalahan Sepanyol kepada Ukraine dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL). 


Rekod 15 perlawanan tanpa kalah La Roja lebur di Kiev hasil gol tunggal babak kedua Viktor Tsygankov, awal pagi tadi.

Sepanyol memiliki hampir 72 peratus penguasaan bola dengan melancarkan 21 percubaan tepat berbanding Ukraine hanya dua selain lapan kali penjaga gol tuan rumah, Georgi Bushchan, mematahkan serangan lawan.

Mereka terpaksa membayar dengan harga yang mahal atas kelekaan pada minit ke-76 selepas Andriy Yarmolenko membuat hantaran -- yang membelah pertahanan pelawat -- kepada Tsygankov dan pemain gantian itu kemudian melepaskan satu rembatan selepas menghidu penjaga gol Manchester United tersebut agak terkeluar daria pintu golnya.

Justeru, kedudukan tempat De Gea sebagai pemain nombor satu di Sepanyol bakal dihujani persoalan selain persembahannya di peringkat kelab dan negara selama dua tahun terakhir semakin menjadi topik perbualan.

Bagaimanapun, pengurus Sepanyol itu belum bersedia mendengarkan laporan wartawan untuk menyalahkan pemain berusia 29 tahun berkenaan.

 

"Anda boleh melakukan lebih banyak perkara tetapi menyalahkan De Gea sudah menjadi kebiasaan buruk," katanya.

"Sekiranya David dipersalahkan untuk perlawanan seperti ini, baik batalkan perlawanan dan kami akan tarik diri."

Tambahnya: "Jika anda melancarkan asakan bertali arus, anda tahu akan ada serangan balas. Jika sebuah pasukan terus di kedudukan 0-0 maka mereka akan berkembang dan dalam perlawanan hari ini, mereka telah memerangkap kami.

"Tiada mengapa kami tewas dalam satu atau dua perlawanan kerana tidak menjaringkan gol. Kami mencipta peluang untuk membunuh perlawanan ini. Ini adalah permainan yang jelas di bawah penguasaan kami dengan lawan cuma menutup hantaran dan ruang.

"Kami juga mencipta peluang melalui Adama Traore. Pada akhirnya, kami bertukar menjadi panik. Saya pernah kalah banyak kali dengan cara seperti ini sepanjang karier saya. Lawan semakin berkembang kemudian berlakunya peralihan rentak perlawanan.

"Kesimpulannya, saya menyukai sikap anak buah saya. Saya suka dengan apa yang saya lihat."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen